Khamis, 9 Disember 2010

Tumpu agenda transformasi politik – Hisham

KUALA LUMPUR 8 Dis. – Setiap pemimpin Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan kepada agenda transformasi politik seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada membangkitkan isu-isu kecil untuk keuntungan peribadi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sebarang permasalahan atau isu-isu yang terbuku di hati seharusnya disuarakan melalui saluran yang betul seperti dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi BN.

“Saya nak nasihatkan pemimpin BN, sekiranya terdapat masalah atau isu-isu terbuku bawalah dalam mesyuarat BN. Salurannya ada dan ia wujud daripada dahulu lagi.

“Sekiranya diluahkan menggunakan saluran lain ia akan menjadi tanda tanya apa sebenarnya matlamat kita sebagai pemimpin sekiranya saluran sedia ada tidak digunakan,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini.

Beliau mengulas ucapan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek pada Konvensyen BN, Ahad lalu yang antaranya menuntut supaya pemimpin UMNO jangan menggunakan perkataan ketuanan Melayu kerana ia berkaitan dengan konsep hamba dan tuan.

Soi Lek turut meminta supaya sebarang polisi yang dibuat tidak diumum dalam Majlis Tertinggi UMNO atau Perhimpunan Agung UMNO dan UMNO tidak bersikap seperti ‘big brother’ kerana dalan BN tidak ada abang sulung atau adik bongsu.

Hishammuddin berkata, beliau ada mendengar rungutan mengenai rasa tidak puas hati beberapa pemimpin terhadap kenyataan Soi Lek dan ahli MCA lain yang berucap pada konvensyen BN baru-baru ini.

sumber: utusan malaysia


kata warischenor:

1. Tidak sewajarnya Presiden MCA Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek menyentuh ketuanan melayu dan UMNO dalam ucapannya semasa Konvensyen Barisan Nasional baru-baru ini. Jika ada perkara perlu dibangkit yang menyentuh parti gabungan BN, maka beliau sewajarnya membawa dalam mesyuarat Majlis Tetinggi Barisan Nasional sahaja

2. Warischenor banyak menerima maklumbalas daripada pimpinan UMNO yang menghadiri koinvensyen tersebut yang melahirkan rasa terkilan dengan isi ucapan Presiden MCA itu.

3. Warischenor juga berpendapat nada percakapan Presiden MCA itu lebih kurang sama dengan nada percakapan pemimpin pembangkang. Beliau perlu memikirkan perpaduan dalam Barisan Nasional adalah lebih utama berbanding dengan desakan daripada kaumnya yang sejak akhir-akhir ini menuntut bermacam-macam perkara.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan