Khamis, 6 Januari 2011

TUDUHAN ROGOL AMAH ADALAH SATU FITNAH...


KUALA LUMPUR 5 Jan. – Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr. Rais Yatim hari ini menafikan alegasi kononnya beliau terlibat dalam satu kes jenayah memperkosa pada 2007 dan semua dakwaan lain yang dilemparkan oleh penulis blog di internet dan parti pembangkang terhadapnya.


“Saya menafikan sebarang alegasi tersebut sama ada yang berkaitan alegasi memperkosa mana-mana individu empat tahun dahulu atau lain-lain dakwaan yang dicetuskan penulis liar blog di internet atau mana-mana entiti politik,” katanya dalam kenyataan di sini.


Beliau berkata: “Alegasi liar yang ditujukan terhadap diri saya susulan laporan blog dan parti-parti politik pembangkang di akhir-akhir ini adalah longgokan fitnah dan pendustaan yang dahsyat, jelek dan jahat. “Saya menyatakan dengan kerelaan bahawa apa-apa laporan yang diperbuat oleh mana-mana pihak setakat ini berkaitan perkara ini wajar disiasat mengikut lunas undang-undang negara.”


Rais berkata, beliau dan anggota keluarganya bersedia memberi sepenuh kerjasama dalam siasatan itu dan apa-apa keputusan siasatan rasmi itu akan diterima dan dipatuhi.“Sementara siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa, demi keadilan dan kemanusiaan, pihak-pihak yang rakus mengamalkan politik kotor melalui internet atau media lain diminta menghentikan sebarang spekulasi, cemuhan atau berbuat sesuatu yang mencabul budaya berpekerti baik.”


“Semua tulisan, laporan, picisan, spekulasi termasuk ilustrasi foto atau gambar yang disiarkan di bawah mana-mana pojok blog, laman web di internet setakat ini berkaitan alegasi salah laku atau jenayah memperkosa mana-mana individu sedemikian adalah bertujuan jelek, berniat jahat dan memfitnah secara fabrikasi atau rekaan tanpa lunas sahih di sisi undang-undang,” katanya.


Rais berkata, sehubungan itu, perkara ini adalah mainan politik jahat dan kotor yang sengaja digembar-gemburkan bagi tujuan memperolehi dividen politik pembangkang.


Laporan polis oleh Pas dan sekutunya di Kuala Klawang, Jelebu, Negeri Sembilan pada Selasa lepas susulan spekulasi blogger adalah bukti bahawa alegasi ini bermotifkan politik kotor dengan tujuan supaya rakyat di Jelebu memihak kepada pembangkang sedangkan mereka tiada kesahihan hak untuk membuat laporan sedemikian dari sudut perundangan, kata anggota Parlimen Jelebu itu.


Rais berkata: “Alegasi pemerkosaan seperti yang dikarang penulis blog tiada kaitan langsung dengan dedahan yang kononnya dipanggil wikileaks.” Beliau berkata, tindakan mengaitkan mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Badawi dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan sebagai tidak melayani aduan pada 2007 berkaitan kes tersebut adalah suatu perbuatan “politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan fakta di mata rakyat kerana perkara tersebut tidak pernah dibawa ke perhatian Abdullah dan Musa.” – BERNAMA



**Inilah fitnah murahan yang cuba menjatuhkan kredibiliti kepimpinan Kerajaan BN... juga satu perbuatan politik licik murahan yang semata-mata bertujuan mengelirukan rakyat semata-mata...INGAT....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan