Sabtu, 31 Oktober 2009

Pergolakan PKR tidak mengejutkan

BARU-baru ini Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami pergolakan sehingga mengakibatkan beberapa pemimpinnya meletak jawatan serta meninggalkan parti.

Daripada PKR Sabah Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Christina Liew hinggalah yang terbaru Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor kawasan Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah. Semuanya menjurus kepada rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan yang diterajui 3A, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin Ali.

Inilah parti yang memperjuangkan kepentingan individu tertentu dan bukanya untuk rakyat. Parti ini sudah terbukti tidak stabil dan sentiasa bergolak. Kita lihat semakin ramai pemimpin dan wakil rakyat PKR telah keluar dan meninggalkan parti. Ini juga sebagai bukti kegagalan pemimpin tertinggi menguruskan parti. Ramai diantara mereka keluar parti kerana percaya DSAI memang seorang yang tidak bermoral dan benar-benar melakukan perbuatan meliwat sepertimana yang didakwa.

SUBSIDI RUMAH GENERASI KEDUA FELDA

Syukur kita kehadrat Allah S.W.T. dan terimakasih kepada kerajaan Barisan Nasional kerana perjuangan generasi kedua felda untuk membolehkan mereka mempunyai rumah sendiri akhirnya tercapai.
Untuk itu pihak Felda telah menyediakan subsidi antara RM15,000.00 hingga RM 20,000.00 kepada generasi kedua felda untuk mereka memiliki rumah sendiri dan menetap di tanah rancangan masing-masing. Sehubungan dengan itu juga felda telah menawarkan skim sewa beli kepada mereka yang bekerja sendiri, tidak mempunyai pendapatan tetap dan tidak mempunyai slip gaji untuk membuat pinjman bank.
Projek perumahan dan subsidi yang diberikan kepada generasi kedua felda ini adalah bukti keperihatinan kerajaan untuk membantu golongan ini. Subsidi yang diberikan ini bukanlah sebagai umpan untuk meraih sokongan dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang tetapi ianya mengambarkan keupayaan kerajaan yang memerintah hari ini menunaikan segala janji-janji yang diberikan.
Tindakan tanpa kira kedudukan: Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan petugas itu diluluskan Kabinet semalam dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

“Kabinet memandang serius laporan itu. Jawatankuasa itu akan juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah, tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri. :

Najib berkata, mereka diberi kuasa meminta bantuan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu.

“Saya mahu tekankan di sini kami bukan berniat mencari kesalahan sesiapa, tetapi mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. Kami akan menggunakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan, tetapi jika terdapat kes yang kami tidak boleh bawa ke mahkamah, kami akan gunakan tindakan pentadbiran, seperti diturunkan pangkat atau dipindahkan,” katanya.




Kenyataan YAB Perdana Menteri ini telah dengan sendirinya menolak dakyah-dakyah daripada pembangkang bahawa kerajaan Barisan Nasional rasuah dan tidak telus adalah tidak benar sama sekali. Kenyataan ini juga telah mencercerminkan hasrat dan keseriusan kerajaan membentras semua penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Rakyat harus yakin dan percaya bahawa inilah kerajaan yang terbaik dan perlu dikekalkan memerintah negara ini.

RAKYAT DIDAHULUKAN, TERLAKSANAKAH PENCAPAIAN?

Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah merupakan slogan keramat daripada YAB. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia yang diucapkan dalam ucapan sulung beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ternyata slogan tersebut cuba dilaksanakan oleh beliau dengan sebaik mungkin dan realitinya dapat kita lihat dalam pembentangan Bajet Perihatian tahun ini. Saya sebagai rakyat yang cintakan negara dan sayangkan kerajaan yang memerintah hari amat bangga dengan bajet tersebut yang faedahnya akan dapat dinikmati oleh semua golongan termasuklah rakyat bawahan iaitu penduduk yang miskin, ibu tunggal, anak yatin dan lain-lain golongan daif yang memerlukan bantuan. Justeru itu E-Kasih telah diwujudkan bagi mengenalpasti golongan sasaran yang layak dibantu.

Apa yang ingin saya nyatakan disini adalah sejauh mana hasrat PM untuk membantu rakyat miskin dapat dilaksanakan dan mereka yang benar-benar layak akan dapat menikmatinya. Perkara ini mungkin dapat dilaksanakan sekiranya pihak atasan iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi kepercayaan kepada pegawai-pegawai bawahan diperingkat daerah untuk mencari golongan sasaran dan dimasukkan dalam senarai E-Kasih. Tetapi pihak atasan seolah-oleh tidak percaya kepada pegawai diperingkat daerah, penghulu dan JKKK. JPM telah melantik pegawai sementara untuk membuat bancian dan mencari golongan sasaran yang layak dibantu serta dimasukkan terus kedalam senarai E-Kasih. Senarai dalam E-kasih ini seolah-olah telah diwartakan dan tidak boleh dipinda. Ternyata senarai tersebut amat berbeza dengan senarai di Pejabat Daerah yang mana pejabat daerah mendapatkan senarai tersebut daripada Penghulu dan JKKK. Nama-nama dalam senarai E-Kasih tersebut terdapat ramai penyokong pembangkang dan mereka yang tidak layak (mengikut laporan JKKK) dari segi pendapatan dan ada juga kakitangan kerajaan disenaraikan. Ini adalah disebabkan oleh pegawai pembanci tersebut tidak mengenali orang yang dibanci dan mereka yang dibanci pula telah memberikan maklumat palsu. Terdapat ramai penyokong kerajaan (Ahli UMNO) yang layak tidak disenaraikan dalam E-Kasih tersebut. Perkara ini telah menjadi isu di kalangan ahli-ahli UMNO, penyokong kerajaan dan penduduk setempat.

Mereka yang terdapat dalam senarai E-Kasih ini (termasuklah pembangkang, penipu dan ramai lagi) akan mendapat berbagai kemudahan dan bantuan daripada kerajaan. Melalui pemberian bantuan ini juga yang akan menyebabkan parti UMNO dan Kerajaan BN menjadi tidak popular. Kerajaan BN akan hilang sokongan daripada ahli ahli parti yang tidak puashati dan saya amat khuatir serta bimbang mereka ini tidak akan mengundi BN. Kalau perkara ini tidak diatasi dengan segera saya amat yakin dan percaya kerajaan BN akan menghadapi laluan sukar untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU ke 13 nanti. Kita jangan lupa bahawa BN banyak mendapat sokongan daripada masyarakat kampung terutamanya ahli-ahli parti dan terdapat banyak cawangan-cawangan UMNO yang aktif di kampung-kampung. Ini tidak boleh dinafikan kerana kita lihat banyak kerusi-kerusi parlimen dan DUN di bandar telah dikuasai oleh pembangkang (Pakatan Rakyat). Ini bermakna Kerajaan BN tidak boleh lagi mengharapkan sokongan daripada masyarakat bandar yang dengan secara terang-terangan tidak menyokong kerajaan. Ini termasuklah juga segelintir kakitangan kerajaan dan pelajar IPT walaupun berbagai insentif telah diberikan kepada mereka.

Sebelum nasi menjadi bubur, diharap Pemimpin-pemimpin Kerajaan dan Parti harus segera sedar dan mereka perlu juga mengambil kira pendapat dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin bawahan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Hasrat yang baik tidak akan mencapai matlamat yang dituju sekirannya tidak dilaksanakan dengan betul.