Sabtu, 31 Oktober 2009

Tindakan tanpa kira kedudukan: Najib

PUTRAJAYA - Kerajaan menubuhkan pasukan petugas peringkat tinggi, diketuai Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan untuk menyiasat laporan Ketua Audit Negara 2008 dan mengambil tindakan sesuai terhadap mereka yang bertanggungjawab dalam penyelewengan kewangan dan salah guna kuasa yang disebut dalam laporan itu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penubuhan pasukan petugas itu diluluskan Kabinet semalam dan selaras dengan usaha kerajaan untuk merealisasikan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

“Kabinet memandang serius laporan itu. Jawatankuasa itu akan juga mengambil tindakan pentadbiran terhadap mereka yang didapati bersalah, tetapi tidak boleh didakwa di mahkamah atas pelbagai sebab,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Pasukan petugas itu akan turut dianggotai Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang sendiri. :

Najib berkata, mereka diberi kuasa meminta bantuan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia jika perlu.

“Saya mahu tekankan di sini kami bukan berniat mencari kesalahan sesiapa, tetapi mahu memastikan mereka yang melakukan kesalahan tidak terlepas. Kami akan menggunakan undang-undang terhadap mereka yang didapati terlibat dalam penyelewengan, tetapi jika terdapat kes yang kami tidak boleh bawa ke mahkamah, kami akan gunakan tindakan pentadbiran, seperti diturunkan pangkat atau dipindahkan,” katanya.




Kenyataan YAB Perdana Menteri ini telah dengan sendirinya menolak dakyah-dakyah daripada pembangkang bahawa kerajaan Barisan Nasional rasuah dan tidak telus adalah tidak benar sama sekali. Kenyataan ini juga telah mencercerminkan hasrat dan keseriusan kerajaan membentras semua penyelewengan dan salah guna kuasa yang dilakukan oleh kakitangan kerajaan tanpa mengira pangkat dan kedudukan. Rakyat harus yakin dan percaya bahawa inilah kerajaan yang terbaik dan perlu dikekalkan memerintah negara ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan