Sabtu, 31 Oktober 2009

RAKYAT DIDAHULUKAN, TERLAKSANAKAH PENCAPAIAN?

Satu Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan adalah merupakan slogan keramat daripada YAB. Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abd Razak, Perdana Menteri Malaysia yang diucapkan dalam ucapan sulung beliau selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Ternyata slogan tersebut cuba dilaksanakan oleh beliau dengan sebaik mungkin dan realitinya dapat kita lihat dalam pembentangan Bajet Perihatian tahun ini. Saya sebagai rakyat yang cintakan negara dan sayangkan kerajaan yang memerintah hari amat bangga dengan bajet tersebut yang faedahnya akan dapat dinikmati oleh semua golongan termasuklah rakyat bawahan iaitu penduduk yang miskin, ibu tunggal, anak yatin dan lain-lain golongan daif yang memerlukan bantuan. Justeru itu E-Kasih telah diwujudkan bagi mengenalpasti golongan sasaran yang layak dibantu.

Apa yang ingin saya nyatakan disini adalah sejauh mana hasrat PM untuk membantu rakyat miskin dapat dilaksanakan dan mereka yang benar-benar layak akan dapat menikmatinya. Perkara ini mungkin dapat dilaksanakan sekiranya pihak atasan iaitu Jabatan Perdana Menteri (JPM) memberi kepercayaan kepada pegawai-pegawai bawahan diperingkat daerah untuk mencari golongan sasaran dan dimasukkan dalam senarai E-Kasih. Tetapi pihak atasan seolah-oleh tidak percaya kepada pegawai diperingkat daerah, penghulu dan JKKK. JPM telah melantik pegawai sementara untuk membuat bancian dan mencari golongan sasaran yang layak dibantu serta dimasukkan terus kedalam senarai E-Kasih. Senarai dalam E-kasih ini seolah-olah telah diwartakan dan tidak boleh dipinda. Ternyata senarai tersebut amat berbeza dengan senarai di Pejabat Daerah yang mana pejabat daerah mendapatkan senarai tersebut daripada Penghulu dan JKKK. Nama-nama dalam senarai E-Kasih tersebut terdapat ramai penyokong pembangkang dan mereka yang tidak layak (mengikut laporan JKKK) dari segi pendapatan dan ada juga kakitangan kerajaan disenaraikan. Ini adalah disebabkan oleh pegawai pembanci tersebut tidak mengenali orang yang dibanci dan mereka yang dibanci pula telah memberikan maklumat palsu. Terdapat ramai penyokong kerajaan (Ahli UMNO) yang layak tidak disenaraikan dalam E-Kasih tersebut. Perkara ini telah menjadi isu di kalangan ahli-ahli UMNO, penyokong kerajaan dan penduduk setempat.

Mereka yang terdapat dalam senarai E-Kasih ini (termasuklah pembangkang, penipu dan ramai lagi) akan mendapat berbagai kemudahan dan bantuan daripada kerajaan. Melalui pemberian bantuan ini juga yang akan menyebabkan parti UMNO dan Kerajaan BN menjadi tidak popular. Kerajaan BN akan hilang sokongan daripada ahli ahli parti yang tidak puashati dan saya amat khuatir serta bimbang mereka ini tidak akan mengundi BN. Kalau perkara ini tidak diatasi dengan segera saya amat yakin dan percaya kerajaan BN akan menghadapi laluan sukar untuk mendapatkan sokongan rakyat dalam PRU ke 13 nanti. Kita jangan lupa bahawa BN banyak mendapat sokongan daripada masyarakat kampung terutamanya ahli-ahli parti dan terdapat banyak cawangan-cawangan UMNO yang aktif di kampung-kampung. Ini tidak boleh dinafikan kerana kita lihat banyak kerusi-kerusi parlimen dan DUN di bandar telah dikuasai oleh pembangkang (Pakatan Rakyat). Ini bermakna Kerajaan BN tidak boleh lagi mengharapkan sokongan daripada masyarakat bandar yang dengan secara terang-terangan tidak menyokong kerajaan. Ini termasuklah juga segelintir kakitangan kerajaan dan pelajar IPT walaupun berbagai insentif telah diberikan kepada mereka.

Sebelum nasi menjadi bubur, diharap Pemimpin-pemimpin Kerajaan dan Parti harus segera sedar dan mereka perlu juga mengambil kira pendapat dan pandangan daripada pemimpin-pemimpin bawahan dalam melaksanakan sesuatu perkara. Hasrat yang baik tidak akan mencapai matlamat yang dituju sekirannya tidak dilaksanakan dengan betul.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan